Peranan Diksi dan Analisis Jenis Ayat




Konsep Diksi
  • Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2012) diksi adalah pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk mengungkapkan idea atau peristiwa secara bertulis atau lisan. Jeniri Amir (2005) pula berpendapat bahawa diksi ialah pemilihan kosa kata dalam teks dan perlu sentiasa diberi perhatian dan dikawal. Boleh disimpulkan bahawa diksi merupakan pemilihan perkataan yang sesuai dan harmoni supaya penggunaanya untuk menyatakan idea dapat memberikan kesan tertentu.

Peranan Diksi
  1. Memastikan penerima memahami secara jelas dan tepat tentang mesej yang ingin disampaikan  agar tidak berlakunya sebarang salah faham.
  2. Wujudnya perubahan seperti yang dikehendaki oleh penyampai akibat mesej tersebut.

Analisis Jenis Ayat
  • Jenis ayat yang terdapat dalam bahasa Melayu terdiri daripada empat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah. Kesemua jenis ayat tersebut mempunyai jenis-jenis ayatnya yang terkecil yang menjalankan fungsi masing-masing dalam penulisan.


Rajah 1: Jenis Ayat



1. Ayat Penyata

  • Ayat penyata merupakan ayat yang digunakan untuk menyatakan dan menerangkan sesuatu perkara. Jika dilihat dari segi bentuknya, ayat penyata boleh ditulis dalam bentuk susunan biasa, susunan songsang, ayat aktif dan ayat pasif. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan kepada pembaca atau pendengar. Contoh penggunaan ayat penyata adalah seperti berikut:
          A. Ayah membantu orang miskin.      (bentuk susunan biasa)
          B. Sungguh sayu tiupan serulingnya. (bentuk susunan songsang)

2. Ayat Tanya
  • Ayat tanya berfungsi untuk menanyakan sesuatu menggunakan nada suara yang meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat dalam percakapan manakala bagi bentuk penulisan ayat tanya boleh diakhiri dengan tanda tanya (?) sebagai simbol pertanyaan kepada sesuatu perkata. Ayat tanya terbahagi kepada dua jenis iaitu ayat tanya berdasarkan struktur dan ayat tanya berdasarkan jawapan.
     A. Ayat Tanya Berdasarkan Struktur: 
       i. Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
  • Bentuk ayat tanya dengan kata tanya ialah menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, mana, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa dalam ayat dan diakhiri dengan tanda tanya (?) bagi menanyakan sesuatu. Ayat tanya ini juga menggunakan partikel -kah untuk menunjukkan penegasan dalam pertanyaan berkenaan. Contohnya, siapakah nama adik awak? 
      ii. Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
  • Ayat tanya tanpa kata tanya tidak menggunakan mana-mana kata tanya dalam penulisan dan pengucapannya. Ayat tanya ini juga diucapkan dengan nada suara yang meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat serta menggunakan bentuk ayat aktif dan pasif. Contoh ayat tanya tanpa kata: Dia masih menjadi pengarah syarikat itu?

    B. Ayat Tanya Berdasarkan Jawapan:
      i. Ayat Tanya Tertutup
  • Ayat tanya tertutup ialah bentuk ayat tanya yang hanya memerlukan jawapan ya, tidak atau bukan sahaja. Ayat tanya ini lazimnya menggunakan bentuk ayat tanya tanpa kata tanya, contohnya, dia adik awak?
      ii. Ayat Tanya Terbuka
  • Ayat tanya terbuka ialah bentuk ayat yang memerlukan jawapan yang pelbagai sebagai maklum balas dan mungkin bersama dengan penjelasan. Ayat tanya jenis ini lazimnya menggunakan kata tanya, contohnya, sejak bilakah mereka menunggu saya?

3. Ayat Seruan
  • Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan membawa nada atau intonasi seruan bertujuan untuk melahirkan sesuatu keadaan perasaan. Penggunaan tanda seru (!) pada akhir ayat dalam penulisan adalah untuk menggambarkan intonasi ayat seruan. Kebiasaannya, ayat seruan bersifat ringkas dan ditulis dalam ayat yang pendek yang berfungsi untuk menggambarkan perasaan  sama ada geram, takut, marah, takjub dan sakit. Jenis ayat seruan terdiri daripada: 
     A. Menggunakan Kata Seru
  • Perasaan digambarkan dengan penggunaan kata seru seperti oh, eh, cis, amboi, aduh, nah, wah dan syabas.
     B. Tidak Menggunakan Kata Seru
  • Pengucapan mengandungi seruan walaupun tiada kata seruan. Contohnya, masam benar mempelam ini.


4. Ayat Perintah
  • Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dnegantujuan menimbulkan sesuatu tindakan oleh pihak yang diperintah. Kata ganti nama diri kedua akan digunakan dalam binaan ayat perintah. Ayat perintah terdiri daripada lima jenis, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan, ayat permintaan dan ayat ajakan.
     A. Ayat Suruhan
  • Ayat suruhan berfungsi untuk memberi perintah atau arahan. Ayat suruhan tidak menggunakan satu kata nama khas untuk menunjukkan ayat tersebut ialah ayat suruhan, namun ayat ini dapat dikesan melalui penggunaan intonasi seperti menyuruh sesuatu sama ada secara lembut atau tegas. Kata kerja dalam ayat sruruhan boleh menggunakan partikel -lah dan juga imbuhan akhiran -kan. Contoh ayat suruhan, pergilah sekarang juga!
     B. Ayat Larangan
  • Ayat larangan digunakan untuk menrgah seseorang daripada melakukan sesuatu. Kebanyakan ayat larangan menggunakan kata larangan pada permulaan ayat misalnya jangan merokok.Namun terdapat juga ayat larangan yang tidak menggunakan kata larangan, contohnya dilarang menggunakan tandas guru.
     C. Ayat Silaan
  • Ayat silaan digunakan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Ayat silaan menggunakan kata silaan seperti sila, jemput dan sudi dalam binaan ayatnya. Contoh binaan ayat silaan ialah sila hantarkan buku ini ke bilik guru.
     D. Ayat Permintaan
  • Ayat larangan berfungsi untuk meminta atau memohon pertolongan. Ayat permintaan lazimnya menggunakan kata permintaan seperti tolong, mohon dan minta. Contoh binaan ayat permintaan ialah tolong bersihkan rumah ini.
     E. Ayat Ajakan
  • Ayat ajakan digunakan untuk mengajak seseorang untuk melakukan sesuatu. Ayat ajakan menggunakan kata ajakan seperti ayuh dan jum. Contoh ayat ajakan, mari kita minum.

Comments

Popular Posts