Pemerengganan yang Berkesan



Definisi Perenggan  

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2012), perenggan adalah bahagian daripada muka atau bab dalam buku yang terdiri daripada beberapa baris. Menurut Abu Hassan Abdul (2012) pula, perenggan merupakan inti karangan yang menyajikan satu unit idea atau satu unit isi perbincangan yang dikembangkan secara tersusun dalam satu rangkaian ayat yang saling berhubungan.

      Boleh disimpulkan bahawa perenggan ialah satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Hal ini demikian kerana setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.


Definisi Pemerengganan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2012), pemerengganan ialah proses atau perbuatan memerenggankan sesuatu. Pemerengganan juga ialah usaha untuk menghasilkan komposisi sesebuah penulisan yang mantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Perenggan yang sempurna terhasil apabila wujudnya struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan.

      Struktur atau bahagian-bahagian yang perlu ada dalam perenggan bagi menghasilkan penulisan yang sempurna  dan tersusun adalah seperti kepelbagaian jenis perenggan yang terdiri daripada perenggan pengenalan, perenggan isi, perenggan penutup dan juga perenggan dialog. Penghasilan struktur karangan yang sempurna perlu mengandungi perenggan pengenalan, lima perenggan isi dan akhir sekali perenggan penutup.


Ciri-Ciri Pemerengganan yang Berkesan
 1. Perenggan Pengenalan
  • Penulisan perenggan pengenalan berfungsi untuk memperkenalkan tajuk penulisan kepada pembaca, memperjelaskan tajuk secara spesifik dari segi makna atau tujuan, memberikan gambaran awal tentang konteks penulisan, menegaskan pendirian dan pendapat penulis tentang isu yang terkandung dalam tajuk serta merangsang peminat dan rasa ingin tahu pembaca terhadap penulisan yang dihasilkan.
  • Binaan perenggan pengenalan perlu mengandungi ayat-ayat penting seperti ayat penyataan, ayat huraian, ayat rangsangan dan ayat pandu arah bagi menghasilkan penulisan perenggan pengenalan yang sempurna dan berkesan.
  • Contoh: Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya boleh dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan 'vandalisme'. Menyedari tentang hal ini, apakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? Tepuk dada, tanya minda.

2. Perenggan Isi

  • Penulisan perenggan isi dalam sesebuah wacana berfungsi untuk menyampaikan idea yang jelas supaya pembaca boleh memahami isi penyampaian penulisan tersebut secara cepat dan berkesan. 
  • Keberkesanan perenggan isi berlaku jika ayat-ayat yang digunakan mempunyai kohesi dan koheren untuk saling menyokong idea utama yang tertulis dalam bentuk ayat judul.  
  • Contoh: Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme in, tindakan sewajarnya harus dilakukan seperti memberikan amaran tegas. Tindakan ini sememangnya sesuai dengan kata orang-orang tua iaitu 'sayangkan anak, tangan-tangankan'.
 

3. Perenggan Penutup
  • Perenggan penutup digunakan dalam penulisan untuk mengakhiri penyampaian idea penulisan tersebut.
  • Contoh: Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemudahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk memerangi gejala ini dan ingatlah, 'jangan sudah terhantuk baru terngadah'.




Comments

  1. Assalamualaikum tuan, saya ingin meminta izin daripada tuan untuk menggunakan bahan yang tuan sediakan dalam blog ini,semoga mendapat kebaikan dan keberkatan daripada ilmu yang disampaikan oleh tuan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts